Jumaat, Mac 21, 2008

WANITA....


Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram,
bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya,
malah maruah wanita mukmin keseluruhannya.
Harga diri wanita terlalu mahal.
Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar
dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian,
ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci.
Begitu juga diumpamakan dengan wanita,
Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat
bersesuaian dengan garisan syarak.
Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk
mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita,
alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya,
sekurang- kurangnya dengan memakai tudung.
Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung.
Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan.
Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat- pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai,
namun pemakaiannya masih
tidak lengkap dan sempurna.
Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan
sebagainya. Ada yang memakai tudung,
tetapi pada masa yang sama memakai
kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.
Pelbagai warna dan
pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula
dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit
pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam
majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan
bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja
menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang
wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan
wanita, dan tidak berhias-hias yang
mana akan menjadikan daya tarikan
kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi
wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih
berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun
bertudung, tetapi semakin membesarkan
riak dan bangga dalam diri. Sombong
makin bertambah. Jalan mendabik dada.
Terasa tudung kitalah yang paling
cantik, up-to-date, sofistikated,
bergaya, ada kelas dan sebagainya.
Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai
tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita
tidak merasakan diri ini hina, banyak
berdosa dengan Tuhan mahupun dengan
manusia. Kita tidak terasa bahawa
menegakkan syariat dengan bertudung
ini hanya satu amalan yang kecil yang
mampu kita laksanakan. Kenapa hati
mesti berbunga dan berbangga bila
boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau
tidak bersembahyang. Ada orang yang
bertudung tapi masih lagi berkepit dan
keluar dengan teman lelaki . Ada orang
bertudung yang masih terlibat dengan
pergaulan bebas. Ada orang bertudung
yang masih menyentuh tangan-tangan
lelaki yang bukan muhramnya. Dan
bermacam-macam lagi maksiat yang
dibuat oleh orang-orang bertudung
termasuk kes-kes besar seperti zina,
khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh
orang-orang yang sebegini. Orang Islam
lain yang ingin ikut jejak orang-orang
bertudung pun tersekat melihat sikap
orang-orang yang mencemari hukum
Islam. Mereka rasakan bertudung atau
menutup aurat sama sahaja dengan tidak
bertudung. Lebih baik tidak bertudung.
Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar
hati untuk masuk Islam kerana sikap
umat Islam yang tidak menjaga
kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun
bertudung, perangai mereka sama sahaja
dengan orang-orang bukan Islam. mereka
tidak nampak perbezaan agama Islam
dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan
tudung untuk dakwah orang lain. Selama
ini kita tidak sedar diri kitalah agen
bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah
Islam. Dakwah kita bukan seperti
pendakwah lain tapi hanya melalui
pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak
terus memperbaiki diri zahir dan batin
dari masa ke semasa, kitalah punca
gagalnya mesej Islam untuk
disampaikan. Jangan lihat orang lain.
Islam itu bermula dari diri kita
sendiri. Ini tidak bermakna kalau
akhlak belum boleh jadi baik tidak
boleh pakai tudung. Aurat, wajib
ditutup tapi dalam masa yang sama,
perbaikilah kesilapan diri dari masa
ke semasa. Tudung di luar tudung di
dalam (hati). Buang perangai suka
mengumpat, berdengki, berbangga, ego,
riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung
tidak terlepas dari tanggungjawab
setiap wanita Muslim. Samada baik atau
tidak akhlak mereka, itu adalah antara
mereka dengan Allah. Amat tidak wajar
jika kita mengatakan si polanah itu
walaupun bertudung, namun tetap
berbuat kemungkaran. Berbuat
kemungkaran adalah satu dosa, manakala
tidak menutup aurat dengan menutup
aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-
elaklah diri dari suka bertengkar.
Hiasi diri dengan sifat tolak ansur.
Sentiasa bermanis muka. Elakkan
pergaulan bebas lelaki perempuan.
Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir
dengan teman lelaki. Serahkan pada
Allah tentang jodoh. Memang Allah
sudah tetapkan jodoh masing-masing.
Yakinlah pada ketentuan qada' dan
qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita
tingkatkan amalan lain. Cuba jangan
tinggal sembahyang lagi terutama dalam
waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi
orang yang lemah-lembut. Buang sifat
kasar dan sifat suka bercakap dengan
suara meninggi. Buang sikap suka
mengumpat, suka mengeji dan mengata
hal orang lain. jaga tertib sebagai
seorang wanita. Jaga diri dan maruah
sebagai wanita Islam. Barulah nampak
Islam itu indah dan cantik kerana
indah dan cantiknya akhlak yang
menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk
mengamalkan Islam. Dengan ini, orang
bukan Islam akan mula hormat dan
mengakui "Islam is really beautiful."
Semuanya bila individu Islam itu sudah
cantik peribadinya. Oleh itu wahai
wanita-wanita Islam sekalian, anda
mesti mengorak langkah sekarang
sebagai agen pengembang agama melalui
pakaian.

Selamat beramal..

0 komeng:

Catat Ulasan