Sabtu, Disember 05, 2009

PRODUK HERBA



Hampir semua orang mengamalkan memberus gigi sebelum mandi dan kemudian bersarapan.

Dalam konteks kesihatan, kita digalakkan supaya mengamalkan minum segelas air putih setiap pagi sebelum membersih gigi atau mengamalkan meminum air bercampur limau diikuti dengan meminum tiga hingga empat gelas air putih.

Amalan ini adalah bertujuan untuk ‘membersihkan’ usus dengan membuang toksin di dalam badan.

Itu adalah saranan Dr Yasmeen Haji Mohammed dari Malaysia, berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam jurusan tumbuh-tumbuhan (botanis) yang pernah tinggal di dalam hutan untuk membuat penyelidikan.

Beliau adalah seorang pakar herba dan tumbuh-tumbuhan dan antara lain bertugas menghasilkan produk- produk kosmetik dan kesihatan dengan menggunakan bahan-bahan asli.

Dr Yasmeen yang juga penasihat Permata HijrahEnterprise, sebuah syarikat pengeluaran toner mata yang salah satu bahan yang digunakan adalah air zamzam, berada di sini bagi menyampaikan ceramah Selembut Dakapan Alam di Masjid AlKhair, baru-baru ini.

Majlis anjuran bahagian Muslimah Masjid AlKhair itu turut mengadakan pemeriksaan mata percuma oleh Permata Hijrah.

Dr Yasmeen berkata: ‘Dulu kita digalakkan minum air yang berunsurkan alkali seperti air hujan yang turun dari langit. Namun hari ini kita tidak digalakkan menadah air hujan sebab sebelum sampai di bumi, air hujan itu telah dikotori dengan pelbagai bahan pencemaran udara seperti asap.

‘Mungkin kita tidak sedar bahawa air liur mengandungi alkali, sebab itu apabila kita makan, kita mengunyah dulu dan air liur akan bertindak mematikan kuman yang terdapat dalam makanan.

‘Kuman tidak boleh hidup dalam air yang mengandungi alkali. Sebab itulah toner mata keluaran Permata Hijau menggunakan air alkali bagi mengelak kuman hidup dalam mata.’

Dr Yasmeen menarik perhatian bahawa untuk menjaga mata ialah melakukan senaman mata selain memakan buah ‘billberry’.




Menyentuh tentang makanan seimbang, beliau berkata tubuh badan memerlukan makanan sihat seperti sayuran yang mendapat cahaya matahari terbit sebanyak 90 peratus, sedangkan manusia hanya mendapat 10 peratus saja sinarannya.

Justeru, menurutnya, manusia digalakkan makan sayur-sayuran terutama yang berwarna hijau yang dapat menyihatkan tubuh badan. Pada masa yang sama kita juga memerlukan vitamin C iaitu sekurang- kurangnya 1,000 gm atau enam biji oren.

Jika kita tidak dapat menyediakan 1,000 gm vitamin C sehari, maka amalkan makan vitamin tambahan bagi mengelakkan masalah sembelit dan sakit urat.

Menurutnya, kalau terasa sakit pinggang, amalan memakan blackcurrant adalah baik untuk menambah vitamin C, manakala jika hendak ‘mencuci’ usus pula, minum jus belimbing besi dan peria katak yang dikisar sendiri boleh membantu.

‘Jika anda dapati peria katak itu pahit rasanya, rendamkannya dengan air garam dan kemudian cuci bersih. Amalkan tiap tiga kali seminggu agar anda dapat merasakan manfaatnya,’ ujarnya.

Dr Yasmeen berkata jika anda sering sakit kepala, petuanya ialah dengan merendam daun bunga raya dalam air, kemudian ramas daun itu sebelum menyapunya di atas kepala. Lendiran daripada daun itu pula boleh digunakan untuk sakit kulit.


Sate adalah hidangan istimewa apabila anda menjamu selera bersama keluarga, sedangkan tanpa kita disedari hangusan daging sate yang dibakar mengandungi karbon. Jadi sebab itulah hidangan sate disajikan dengan timun agar dapat mencegah ketumbuhan akibat karbon tersebut.

‘Mi segera yang mempunyai pelbagai jenama memang cepat dimasak dan mudah dimakan, sedangkan ia berbahaya. Bagaimanapun ia kurang elok kerana mi segera diselaputi bahan kimia,’ jelas Dr Yasmeen.

Beliau turut menegaskan bahawa amalan meminum minuman sejuk berais akan menambahkan kemudaratan badan sebaliknya jika badan terasa panas, rebus serai wangi dengan daun pandan, kemudian minum airnya.

sumber : http://www.rediesh.com/untuk-pengetahuan-anda/manfaat-herba#more-651

0 komeng:

Catat Ulasan